KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Selasa berikutan mata wang negara maju itu mengukuh menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat hari ini dan esok.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.7700/7750 berbanding dolar AS 4.7650/7700 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sedikit hari ini kepada 105.896 mata berikutan pasaran menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang bermula malam ini dan esok.

"Mata wang yen juga turun berbanding dolar AS sebanyak 0.34 peratus kepada 156.88 mata. Semasa sesi pagi, USD/MYR turun kepada RM4.7665 sebelum berada pada RM4.7715 ketika sesi petang.

"Pasaran masih bimbang mengenai mesyuarat FOMC, apabila gesaan untuk penurunan kadar dilihat semakin mereda memandangkan kadar inflasi AS yang tidak berganjak, ditambah dengan kenyataan yang cenderung kepada menaikkan kadar faedah oleh pegawai Fed," katanya kepada Bernama.

Situasi ini katanya akan menyokong pengukuhan dolar dalam masa terdekat, terutamanya apabila ekonomi utama lain mempertimbangkan untuk penurunan kadar.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.0396/0430 daripada 3.0588/0624 ketika ditutup pada Isnin, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.9835/9898 daripada 5.9710/9773 sebelum itu. Ringgit turut merosot berbanding euro kepada 5.1163/1217 daripada 5.1052/1106.

Pada masa yang sama, unit tempatan itu diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ia menyusut berbanding baht Thai kepada 12.8689/8869 daripada 12.8669/8853 pada Isnin dan turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 293.3/293.8 daripada 293.1/293.5 sebelum itu.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 daripada 8.26/8.27 sebelumnya dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5045/5084 daripada 3.5039/5081.

-- BERNAMA